Kemenangan Di Mahkamah Paris Bukti Tuntutan Sulu Tidak Berasas

06/01/2026 12:11 PM

Oleh Khatijah Jistoh

SANDAKAN, 6 Jan (Bernama) -- Penduduk di pantai timur Sabah menyifatkan kejayaan berterusan Malaysia di mahkamah antarabangsa berhubung tuntutan kumpulan mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu membuktikan bahawa tuntutan itu tidak berasas sama sekali.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Gum-Gum Mohd Zarul Midi berkata keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini yang membatalkan Award Akhir bernilai USD14.9 bilion dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 2022, menjelaskan status Sabah sebagai milik mutlak Malaysia.

Menurut beliau, kemenangan besar itu bermaksud Malaysia berada di landasan tepat dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus menyampaikan mesej jelas bahawa kedudukan Sabah adalah sah dan kukuh di Malaysia.

Mohd Zarul berkata pihak penuntut perlu sedar bahawa Sabah adalah milik Malaysia serta berharap tiada lagi tuntutan berulang pada masa hadapan kerana tindakan kumpulan itu selama ini hanya memanipulasi sejarah dan fakta berkaitan negeri ini.

Beliau turut melihat keputusan tersebut memberi perspektif positif dalam aspek keselamatan yang seterusnya menyumbang kepada imej baik ekonomi dan sektor pelancongan Sabah.

Mengimbau kembali insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, beliau berkata penduduk kini merasakan keselamatan di pantai timur Sabah semakin terjamin, terutamanya dengan kewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Bagi Ketua Komuniti MADANI Sri Taman Sahrudin A Harol, pembatalan Award Akhir itu disifatkan sebagai tindakan sewajarnya dan merupakan satu pengiktirafan undang-undang terhadap kedaulatan serta kemerdekaan negara.

"Saya bersyukur dengan kemenangan Malaysia mempertahankan kedaulatan negara khususnya tanah Sabah, penuntut perlu sedar tuntutan tidak berasas perlu dihentikan," katanya, yang percaya kerajaan tidak akan berdiam diri jika terdapat percubaan lain selepas ini.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Gas Baru Sablee Erak pula berkata keputusan mahkamah antarabangsa itu merupakan kemenangan besar kerana selama ini penduduk Sabah tidak pernah mengiktiraf tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas negeri itu.

Beliau berkata usaha kerajaan mempertahankan kedaulatan Sabah amat penting kerana generasi terdahulu telah memperjuangkan pembentukan Malaysia bersama Sabah dan tuntutan Sulu adalah tidak berasas.

Di Lahad Datu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Sabah Baru 2 Mohamad Otuh Saleh berpendapat kejayaan itu terhasil daripada desakan serta ketegasan pemimpin kerajaan Sabah dan Persekutuan dalam menangani isu berkenaan.

Beliau percaya kemenangan tersebut memberi kesan berpanjangan kepada kumpulan penuntut, sekali gus menjadi peringatan bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mencabuli undang-undang atau menceroboh tanah Sabah, memandangkan polemik tuntutan ini sudah berlarutan terlalu lama.

"Kejayaan ini patut diraikan kerana pada saya ini suatu kejayaan besar, ia umpama kita berperang. Ini peperangan dari segi undang-undang, puak yang menyokong tuntutan ini juga akan gentar, Sabah tanah berdaulat," katanya.

Sementara itu, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata keputusan mahkamah antarabangsa membuktikan kedaulatan wilayah Sabah Timur kekal terpelihara sebagai sebahagian daripada Malaysia.

“Pihak ESSCOM sentiasa memastikan kedaulatan kawasan itu terus terpelihara, di samping memberi jaminan keselamatan serta kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini membatalkan sepenuhnya Award Akhir dikeluarkan Stampa pada 28 Feb 2022, dan mengarahkan penuntut tersebut membayar kos berjumlah €200,000 (USD232,734) kepada Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan