Seorang Daripada Dua Nelayan Hilang Di Batu Pahat Ditemukan Lemas

06/01/2026 03:25 PM

BATU PAHAT, 6 Jan (Bernama) -- Seorang daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Sungai Dulang, Rengit berhampiran Jeti Sungai Tongkang sejak Jumaat lepas, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata mayat Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, dijumpai seorang nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada 9.16 pagi di perairan Sarang Burung.

“Mangsa dipercayai dihanyutkan kira-kira dua kilometer dari lokasi botnya ditemukan sebelum ini, iaitu di kawasan antara Pantai Perpat dan Pantai Punggur.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan tersepit pada kayu bakau. Mayat dibawa ke Jeti Sungai Tongkang menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses pengecaman awal mayat dilakukan adik perempuan mangsa yang mengesahkan identiti mangsa berdasarkan fizikal, pakaian, dokumen diri dan telefon bimbit yang ditemukan bersama mayat.

Shahrulanuar Mushaddat berkata mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini untuk bedah siasat.

Mohd Saiful Azli dilaporkan hilang bersama rakannya Mohd Fadzli Mesran, 41, selepas kedua-duanya keluar memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang, Jumaat lepas.

Kehilangan mereka disedari ahli keluarga selepas kedua-duanya tidak pulang ke rumah sebelum menemukan kenderaan milik mangsa di jeti berkenaan dan membuat laporan polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan