Seludup Migran: Hukuman Penjara 8 Tahun Empat Warga Indonesia Kekal

06/01/2026 08:26 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun yang dijatuhkan ke atas empat warga Indonesia kerana menyeludup 29 migran ke Malaysia.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Zali Saad, 46, Tengku Mohd Bashah Tengku Husin, 34, Adi Bastian Bustami, 50, dan Mohd Yusof Husin, 40, terhadap hukuman penjara mereka.

Wan Ahmad Farid, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, mengarahkan keempat-empat warga Indonesia menjalani hukuman daripada tarikh mereka ditangkap iaitu pada 26 Jan 2023.

Mereka telah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Jun 2024 atas pertuduhan menyeludup kesemua migran menggunakan sebuah bot tidak berdaftar kira-kira 3.4 batu nautika dari Tanjung Rhu di Sepang, Selangor pada 10.30 malam 26 Jan 2023.

Rayuan mereka telah ditolak pada 3 Jan tahun lepas yang menyebabkan keempat-empat lelaki membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut fakta kes, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, yang menjalankan operasi di perairan Selat Melaka dan Negeri Sembilan telah terserempak dengan keempat-empat lelaki bersama dengan tiga warga Myanmar serta 26 warga Indonesia di atas sebuah bot ketika mereka cuba memasuki Malaysia secara haram.

Pada prosiding hari ini, peguam Collin Arvind Andrew memohon tempoh hukuman dikurangkan kepada tujuh tahun namun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berhujah bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak melakukan kekhilafan dalam keputusan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan