| BERITA TERGEMPAR | The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | |
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat hari ini menerima 45 laporan berhubung kes pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata seramai lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Kes ini disiasat susulan laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 24 Dis lepas, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan tindakan itu diambil selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan laporan siasatan mereka baru-baru ini.
Sebelum ini, IIC dalam laporan penuh siasatan, mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, antaranya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan untuk mengesahkan asal usul dokumen yang disyaki palsu, serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Pada 26 Sept lepas, FIFA dalam kenyataan rasmi mengesahkan bahawa badan induk negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan tujuh pemain berkenaan didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen yang dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan kesemua pemain itu.
FAM didenda kira-kira CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda sekitar RM11,000 dan digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Pada 3 Nov lepas, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan kesemua pemain terlibat, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib terdahulu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial