Tiga Lelaki Kemboja Dipenjara Sembilan Bulan, Kawal Hasil Hutan Secara Tidak Sah

07/01/2026 10:23 PM

KUANTAN, 7 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan tiga lelaki Kemboja dihukum penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengawal hasil hutan jenis gaharu tanpa membayar royalti, premium dan cukai khas, tahun lepas. 

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman ke atas Toek Tan, 41, Sin Sor, 49, dan Nget Koy, 60, yang membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kemboja, dengan hukuman bermula dari tarikh tangkap.

Mereka didakwa mengawal hasil hutan, iaitu kira-kira 16.55 kilogram kayu gaharu di sebuah rumah di Taman Chendor Darat 1 pada 13 Okt lepas tanpa membuat sebarang bayaran kepada kerajaan negeri Pahang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai oleh negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 84 (4) enakmen sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, sepasukan renjer hutan yang menjalankan pemeriksaan di rumah itu pada kira-kira 9 pagi 13 Okt lepas menemukan tiga lelaki Kemboja sedang membersihkan kayu gaharu, selain turut menyita empat gergaji berantai, seunit penimbang digital dan lapan peralatan untuk membersih kayu itu. 

Mereka memaklumkan melakukan kerja itu atas arahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pemilik hasil hutan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Muhammad Shahrezal Mohd Shukri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebagai pengajaran kepada masyarakat agar mematuhi undang-undang perhutanan negeri.

 “Kayu gaharu yang dihasilkan secara haram lazimnya dijual ke kedai minyak wangi, khususnya di sekitar Kuala Lumpur dengan nilai ganti rugi dianggarkan RM18,700 bagi jumlah rampasan sekitar 16 kilogram,” katanya. 

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya barang kes dilucut hak kepada kerajaan negeri Pahang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan