Bekas PTD, Dua Isteri Direman Bantu Siasatan Kes Rasuah Tender Perolehan TDM

08/01/2026 08:22 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bermula hari ini  bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM). 

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, ketiga-tiga individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada 10 pagi selepas ditahan di Ibu Pejabat SPRM petang semalam.

Ketiga-tiga individu, yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan bergari, kemudian dibawa memasuki kompleks mahkamah oleh pegawai SPRM.

Sementara itu, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili bekas PTD berkenaan berkata anak guamnya belum sihat sepenuhnya dan dalam proses pemulihan.

"Pihak kami memberi ruang untuk pihak SPRM melakukan siasatan, dan kami juga memohon kepada mahkamah agar beliau mendapat akses kepada peguam semasa siasatan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas proses reman itu selesai.

Semalam, bekas PTD berkenaan bersama kedua-dua isterinya ditahan pada 7 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Pada 23 Dis lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Pada Selasa, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan permohonan reman selama tujuh hari itu dilakukan kerana siasatan kes itu melibatkan penerimaan wang rasuah secara terancang, dipercayai melibatkan rangkaian rasuah lebih luas serta kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain.

“Permohonan reman turut dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti dan merujuk sejumlah besar dokumen berkaitan perolehan, selain mengesan individu lain yang dipercayai terlibat serta aset dan proksi yang disyaki digunakan.

“Langkah itu juga bagi menghalang sebarang kemungkinan suspek menghubungi saksi-saksi lain atau mengganggu serta memusnahkan bahan bukti yang masih belum diperoleh sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman itu.

Beliau meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan