Polis Sabah Rampas Dadah Lebih RM1 Juta Disembunyi Dalam Papan Pemotong

08/01/2026 03:44 PM

KOTA KINABALU, 8 Jan (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup masuk dadah bernilai RM1.26 juta ke Sabah dengan menyembunyikan barang larangan itu di dalam “sasaban”, bermaksud papan pemotong dalam bahasa tempatan, menerusi serbuan di Penampang pada Selasa lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata dalam serbuan 11.30 malam di sebuah rumah di Taman Donggongon itu, pasukan polis merampas 39.5 kilogram (kg) dadah dan menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun.

Beliau berkata modus operandi mereka ialah menyembunyikan bungkusan dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam papan pemotong, sebelum membawa masuk papan pemotong itu dari Kuala Lumpur ke Sabah melalui melalui jalan laut menggunakan penghantaran kargo.

“Pemeriksaan menemukan 40 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki methamphetamine atau syabu yang disembunyikan di dalam ‘sasaban’ itu.

"Papan pemotong itu dibelah dua dan dikorek bahagian tengahnya (bagi mengisi dadah), sebelum ditutup semula bagi mengelak dikesan pihak berkuasa ketika pemeriksaan rutin," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jauteh berkata kedua-dua lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu berperanan mengambil barangan terbabit daripada syarikat penghantaran sebelum mengedarkannya untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata jumlah dadah dirampas mampu digunakan kira-kira 160,000 penagih untuk sekali guna, dipercayai untuk edaran di negeri ini.

"Saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Benzo manakala seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah,” katanya menambah kedua-duanya kini direman hingga 14 Jan ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jauteh berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memperketat pemeriksaan di pintu masuk negeri, khususnya melibatkan kargo bagi memaksimumkan pencegahan penyeludupan dadah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan