PETALING JAYA, 8 Jan (Bernama) -- Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk seorang pekerja restoran makanan segera yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bulan lepas.
Nalinee Kothandabani, 41, yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rani Arumugam, 45, dengan menumbuk wanita itu di sebuah restoran makanan segera di Serdang Raya, Seri Kembangan, dekat sini pada 4 petang, 8 Dis lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Dinesh Muthal yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah sekitar RM500 atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
"Anak guam saya menetap di Johor Bahru dan telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis semasa siasatan selain hadir sendiri ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan pada hari ini," kata peguam.
Majistret Amira Sariaty Zainal membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini, peguam Lavendran Nair hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Pada 18 Dis lepas, media melaporkan polis telah memanggil seorang suspek wanita yang disyaki menyerang seorang wanita OKU di sebuah restoran makanan segera di Serdang Raya, susulan pertengkaran di media sosial.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata mangsa mengalami lebam di pipi kiri dan bibir akibat kejadian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial