Najib Nafi Halang Siasatan Dalam Kes 1MDB Dan SRC

23/01/2026 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah menghalang siasatan oleh pihak berkuasa dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap beliau.

Muhammad Shafee: Sekarang, adalah penting dalam konteks ini untuk mempertimbang bagaimana isu yang melibatkan 1MDB dan SRC menjadi pengetahuan umum, atau lebih tepat lagi, menjadi perkara yang menjadi perhatian awam.

Anda kekal sebagai Perdana Menteri untuk tempoh tiga tahun berikutnya sehingga 9 Mei 2018... betul? Sepanjang tempoh selepas kesemua perkara menjadi pengetahuan umum, adakah terdapat siasatan yang berkaitan dengannya?

Najib: Ya.

Muhammad Shafee: Sepanjang tempoh itu, adakah anda pada bila-bila masa menghentikan atau menghalang siasatan tersebut?

Najib: Tidak.

Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 9 Feb ini.

Selepas prosiding perbicaraan hari ini, Muhammad Shafee berkata laporan yang diterbitkan semalam yang mendakwa Najib mengetahui bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya bukan berasal dari Arab Saudi.

Peguam itu berkata anak guamnya kekal dengan pendirian bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau adalah sumbangan daripada seorang kerabat Arab Saudi.

“Najib menjawab berdasarkan keputusan mahkamah sebelum ini (dalam kes jenayah) namun berdasarkan pengetahuannya sendiri, beliau masih yakin bahawa kesemua wang yang diterima - bukan hanya RM42 juta - datang dari Arab Saudi... beliau tidak pernah mengatakan bahawa beliau sudah tidak mempercayainya,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan