Aksi "Wheelie" Di RnR Sungai Bakap: Polis Tahan Dua Lagi Individu

25/01/2026 08:11 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jan (Bernama) -- Polis hari ini menahan dua lagi lelaki yang dikesan terkait dengan aksi menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan rehat dan rawat (RnR) Sungai Bakap arah selatan yang rakamannya tular menerusi media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata tangkapan susulan itu dibuat hasil risikan dan siasatan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut, menjadikan jumlah individu ditahan setakat ini lapan orang.

“Suspek direman dua hari hingga esok. Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, polis mengesahkan menahan enam lelaki berusia 16 hingga 20 tahun susulan rakaman tular berdurasi 13 saat pada Rabu, memaparkan tindakan beberapa individu melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) serta membunyikan ekzos dengan kuat di stesen minyak kawasan rehat berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan