KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Sebuah syarikat menjual minuman dan barangan runcit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menjual kopi yang mengandungi racun berjadual, tahun lepas.
Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas syarikat terbabit yang diwakili pengarahnya, Teh Yew Sim, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan waran melevi akan dikeluarkan sekiranya OKS gagal membayar denda. OKS membayar denda itu.
Waran melevi merujuk kepada tindakan yang membolehkan mahkamah menyita harta syarikat yang didakwa mengikut jumlah denda.
Syarikat itu didakwa menjual 40 sacet “Kopi Jantan Tradisional (Healthy Man Coffee)” kepada pegawai berkuasa daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, yang setelah dianalisis mengandungi 1310.61 mg/kg racun berjadual Tadalafil, iaitu makanan berkenaan mengandungi penambahan bahan yang tidak dibenarkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis makanan di Batu Caves, dekat sini pada 12 tengah hari 11 Ogos tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 13(B)(1) Akta Makanan 1983 dibaca bersama 13B(2)(d).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 13(B)(3) dan Seksyen 13B(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Gombak V.S Vivig Dinesh memohon hukuman setimpal kerana Tadalafil hanya boleh diberi kepada pesakit melalui preskripsi doktor yang bertauliah serta tidak dibenar dicampur dalam makanan.
"Kopi itu membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna jika diminum secara harian kerana boleh berdepan dengan risiko kesihatan serius termasuk penurunan tekanan darah secara mendadak, gangguan sistem kardiovaskular, interaksi berbahaya dengan ubat lain terutama ubat sakit jantung yang mengandungi nitrat.
"Ia juga memberi kesan sampingan antaranya serangan jantung dan strok. Kes penambahan racun dalam produk makanan semakin berleluasa demi mengaut keuntungan cepat tanpa mempedulikan keselamatan pengguna," katanya.
Teh yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga selain menyesal melakukan kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial