KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan rampasan bernilai lebih RM850 juta hasil pelbagai operasi penguatkuasaan sepanjang tahun lepas.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kejayaan itu melibatkan 2,479 kes yang direkodkan, dengan 2,372 tangkapan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata antara rampasan terbesar direkodkan ialah 12 kes berkaitan pencemaran dan pembuangan sisa pepejal serta barangan lusuh (e-sisa) dengan nilai rampasan RM410.6 juta melibatkan 10 tangkapan.
“Selain itu, sebanyak 390 kes berkaitan hasil pertanian termasuk tumbuhan, pokok, buah-buahan dan hasil tanaman dikesan dengan 353 tangkapan serta nilai rampasan RM145.5 juta manakala 73 kes melibatkan Operasi Bersepadu Khazanah direkodkan dengan 176 tangkapan dan rampasan bernilai RM144.7 juta,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ahmad Radzi berkata pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi serta tahap kesiapsiagaan anggota Briged Tenggara dalam membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan aktiviti menyalahi undang-undang yang mengancam keselamatan negara.
Beliau berkata Batalion 7 PGA mencatatkan kejayaan tertinggi iaitu RM492 juta hasil 768 kes dengan 591 tangkapan, diikuti Batalion 8 PGA dan Batalion 9 PGA masing-masing merekodkan nilai rampasan RM188.2 juta dan RM115.5 juta manakala Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA mencatatkan rampasan RM57.8 juta.
Mengulas Operasi Taring Wawasan Kelantan, Ahmad Radzi berkata operasi khas itu turut menunjukkan impak signifikan dengan merekodkan 2,129 kes dan 1,832 tangkapan serta nilai kejayaan keseluruhan RM329.6 juta hasil tumpuan terhadap pembanterasan penyeludupan barang bersubsidi, dadah, senjata, pendatang tanpa izin dan jenayah terancang di sempadan Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial