KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan modus operandi tong gas helium selepas menahan empat individu dalam operasi khas di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata hasil serbuan pada 5.30 petang, seorang lelaki dan wanita masing-masing warganegara China serta seorang lelaki warga Hong Kong berumur antara 26 hingga 36 tahun itu, dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah di sekitar ibu negara.
“Pihak polis berjaya merampas lima tong gas bertulis helium disyaki mengandungi dadah jenis MDA, tiga peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dan empat kartrij disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin. Semua suspek aktif mengedar dadah berbentuk tong gas yang disertakan bersama belon untuk tujuan pelanggan menghisap dadah jenis MDMA di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur sejak tiga bulan lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata susulan tangkapan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun di sekitar kawasan itu dan merampas 14 kotak mengandungi botol berisi gas disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 58.24 kilogram, tujuh bungkusan belon dan sebuah kereta jenis Perodua.
“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM69,491 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Kesemua suspek direman hari ini bagi membantu siasatan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, memiliki atau melindungi sebarang aktiviti yang berkait dengan dadah. Sebarang penyaluran maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial