APMM Laksana Hampir 250,000 Pemeriksaan Vesel Nelayan Di Perairan Negara Tahun Lepas

10/02/2026 07:06 PM

PASIR PUTEH, 10 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya melaksanakan hampir 250,000 pemeriksaan terhadap vesel nelayan di perairan negara tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata hasil daripada keseluruhan pemeriksaan itu, kurang daripada 2,000 kes tangkapan dilakukan terhadap individu yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

"Kita meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diberi fokus oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahap tiga peratus sahaja… maknanya dalam konteks pemeriksaan ini, tangkapan tidak boleh melebihi tiga peratus daripada keseluruhan pemeriksaan.

"Hasilnya, kita berjaya melaksanakan kira-kira 250,000 pemeriksaan pada tahun lepas dengan kes tangkapan tidak sampai 2,000. Jadi, jumlahnya tidak sampai dua peratus daripada 250,000 pemeriksaan dilakukan. Ini jelas menunjukkan tahap pematuhan masyarakat terhadap undang-undang sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Pengarah APMM Kelantan yang baharu, Kepten Maritim Kamal Mohamad yang mengambil alih jawatan daripada Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rosli berkata terdapat dua projek pembangunan maritim di negeri ini dijangka dilaksanakan tahun depan iaitu Pusat Tahanan Vesel di Semerak, Pasir Puteh dan Pos Maritim di Pulau Tengkorak, Tumpat.

"Projek ini telah dipersetujui untuk dilaksanakan pada peringkat KDN untuk kita (APMM) angkat dalam Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ke-13 untuk kelulusan lanjut.

"Keluasan Pusat Tahanan Vesel di Pasir Puteh ini lebih kurang setengah ekar (0.2 hektar) dengan kos tanah RM2 hingga RM3 juta, manakala Pos Maritim di Tumpat pula luas tanah kira-kira empat ekar (1.61 hektar) dengan anggaran kos tanah kira-kira RM5 juta," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan