IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Beberapa rumah di Kampung Kepayang Fair Park di sini, mengalami kerosakan akibat hujan lebat berserta angin kencang berterusan hampir dua jam, malam tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penghulu Tanjung Rambutan pada 8.15 malam memaklumkan kejadian ribut di kawasan itu.
“Susulan itu, sepasukan anggota bersama pegawai operasi bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemantauan dan hasil tinjauan mendapati beberapa rumah mengalami kerosakan.
“Antara kawasan yang terlibat ialah sekitar Hala Kepayang 3, Hala Kepayang K16 dan K17, selain di 614 Kampung Kepayang Fair Park serta K2D Kampung Kepayang Off Dewan Fair Park,” menurut PKOD dalam kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu memaklumkan angin kencang turut menyebabkan sebatang pokok tumbang menghempap bumbung sebuah rumah serta merosakkan dua kereta di Hala Kepayang.
“Kerosakan yang dilaporkan termasuk kehilangan atap, siling bocor dan kerosakan struktur lain, namun setakat ini tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dalam insiden tersebut.
“Hasil pemantauan juga mendapati tiada jalan dilaporkan dinaiki air atau terputus dan hujan serta angin kencang telah berhenti sepenuhnya setakat 10 malam tadi,” menurut kenyataan itu.
PKOD memaklumkan APM telah meminta bantuan pihak Tenaga Nasional Berhad untuk memotong bekalan elektrik sebelum kerja mengalihkan pokok tumbang dijalankan dengan selamat.
Sementara itu, tular di laman media sosial insiden hujan lebat dan angin kencang yang telah merosakkan beberapa struktur bangunan serta gerai makanan di kawasan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial