Penolong Pengurus Kedai Jam Tangan Mewah Didakwa Terlibat Aktiviti Wang Haram RM1.7 Juta

24/02/2026 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Seorang penolong pengurus sebuah kedai jam tangan mewah mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 44 pertuduhan menerima dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram melibatkan kerugian RM1.7 juta.

Miki Oshiro, 36, yang merupakan warga tempatan membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Azrul Darus dan Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-44, lelaki itu didakwa telah menerima RM1.7 juta daripada seorang pelanggan wanita berusia 61 tahun dan kemudiannya memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM628,499 daripada akaun simpanan miliknya ke dalam akaun bank milik beberapa individu dan syarikat lain.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Damansara Utama, Petaling Jaya, antara 5 Okt 2024 hingga 3 Jan 2025.

Dia didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Mohd Marzuki menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri sebulan sekali ke Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, sehingga kes selesai.

"Tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana pasportnya telah disimpan oleh mahkamah bagi kesalahan yang telah dituduh sebelum ini dan mohon mahkamah juga ambil kira faktor kesalahan yang dilakukan memberi kesan kepada ekonomi dan sistem perbankan negara," katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya P. Sangari.

Peguam S. Narasimhan merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri selain menanggung ibu yang sudah tua.

Mahkamah membenarkan Miki diikat jamin berjumlah RM105,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke Bahagian Siasatan Jenayah AMLA, Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pada 21 Feb 2025, Miki dan seorang lagi individu telah didakwa di dua Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan menipu empat individu dalam urusan penjualan jam tangan mewah lebih RM2 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan