KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Akibat membuang puntung rokok di tempat awam, tiga lelaki masing-masing didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama lapan jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas dua penjawat awam Idzham Husin, 43, dan Ahmad Nasri Mohammad Yusof, 47, serta pemandu pengorek-kaut Putra Che Ani, 59, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 30 hari sekiranya semua mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) gagal membayar denda selain tempoh khidmat masyarakat perlu diselesaikan dalam enam bulan.
Semua mereka didakwa membuang puntung rokok di tempat awam dan bukan dalam bekas diperuntukkan masing-masing di Dataran Sena Indah, Jeti Kuala Perlis dan di depan sebuah bank di sini pada 1, 2 dan 15 Jan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A (2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah Subseksyen 77B (1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, Siti Adora Rahtimin, Mohd Iqram Ismail dan Mohd Fazli Janna manakala kesemua OKS tidak diwakili peguam.
Kes itu merupakan pendakwaan pertama di Perlis di bawah Akta 672.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial