KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Seorang pengarah urusan sebuah syarikat penyelenggaraan marin tempatan mendakwa kerugian lebih RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket penipuan kontrak pembersihan kapal yang sebenarnya tidak wujud atau 'kapal hantu'.
S. Nagamani, 50, mendakwa beliau ditawarkan projek “Deep Sea Cleaning Services” melibatkan 11 kapal di perairan Melaka dan Thailand oleh sebuah syarikat antarabangsa pada 2023, sebelum beliau menawarkan projek itu kepada sebuah syarikat subkontraktor lain.
Beliau mendakwa telah diminta oleh syarikat antarabangsa itu untuk membuat pembayaran pendahuluan kepada syarikat subkontraktor terlibat, namun tuntutan bayaran balik pendahuluan daripada syarikat antarabangsa itu gagal diterima sehingga hari ini.
Nagamani berkata penipuan itu hanya disedari selepas beliau melakukan semakan bebas yang mendapati nombor bil (barge number) kapal-kapal berkenaan tidak wujud dalam sistem antarabangsa dan perkara itu turut disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia.
“Syarikat antarabangsa itu juga hilang dan tidak dapat dihubungi. Saya telah membuat empat laporan polis di Seremban, Ipoh dan Teluk Intan berhubung kes ini, namun sehingga kini ia dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak berkuasa atas alasan keterangan tidak mencukupi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Lebih malang, Nagamani kini turut berdepan tindakan mahkamah selepas syarikat subkontraktor terlibat menuntut bayaran penuh selain akaun syarikatnya turut dibekukan.
Kisah malang Nagamani itu mendapat perhatian Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang kini merayu Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Negeri Perak untuk mengarahkan semula siasatan lanjut oleh pihak polis.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak bagi merayu agar siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan secara menyeluruh.
“Isu ini bukan sahaja melibatkan kerugian besar kepada mangsa, malah menyentuh integriti urus niaga komersial serta keyakinan terhadap sistem keadilan jenayah negara.
“MHO akan berdiri bersama mangsa untuk memastikan suara mereka didengari,” katanya pada sidang media sama di ibu pejabat MHO hari ini.
Hishamuddin turut mempersoalkan tuntutan saman sivil oleh subkontraktor terhadap mangsa bagi kerja-kerja pembersihan yang didakwa telah disiapkan, sedangkan rekod rasmi membuktikan kapal-kapal itu tidak wujud dan tidak pernah memasuki perairan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial