Pemilik Restoran Didenda RM2,000 Bunuh Anjing Guna Mercun

27/02/2026 01:43 PM

BATU GAJAH, 27 Feb (Bernama) -- Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing liar menggunakan mercun, bulan lepas.

Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas Wong Phan Sang, 64, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memerintahkan lelaki tersebut dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Wong didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru, Pusing di sini pada 7.30 malam 28 Jan. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Choong Hui Yean yang mewakili Wong memohon hukuman denda minimum RM500 kerana anak guamnya hanya berniat menakutkan anjing itu selepas dikejar dan terjatuh dari motosikal dua hari sebelum kejadian.

Choong berkata Wong yang menghidap penyakit kebimbangan dan menerima rawatan sejak 2020 telah insaf selepas direman empat hari berkaitan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Monisha Pandey memohon hukuman berat sebagai pengajaran mengambil kira kes penganiayaan haiwan semakin meningkat dan perbuatan membaling mercun boleh membahayakan keselamatan orang awam.

Beliau berkata aduan mengenai haiwan liar sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Batu Gajah dan bukan mengambil tindakan sendiri.

Berdasarkan fakta kes, anjing liar itu ditemukan mati pada 7.30 malam 28 Jan berhampiran sebuah restoran selepas penduduk setempat mendengar bunyi letupan kuat. 

Rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan Wong membaling objek ke arah anjing itu sehingga menyebabkan haiwan tersebut mati. 

Pada 2.15 pagi 31 Jan, Wong menyerahkan satu bekas makanan lutsinar mengandungi pemetik api dan enam mercun bola pelbagai warna kepada polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan