Imigresen Serbu Pusat Hiburan Elit, 107 Warga Asing Ditahan

01/03/2026 01:06 AM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 107 pendatang tanpa izin dalam Ops Gegar di dua premis hiburan sekitar kawasan perindustrian kecil Kepong di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi bermula 11 malam itu sebanyak 224 individu terdiri daripada 171 warga asing dan 53 warga tempatan diperiksa.

"Kesemua ditahan terdiri daripada 93 wanita dan 14 lelaki Thailand, Vietnam, Bangladesh, Laos dan  Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.

“Risikan awal mendapati premis ini dikawal oleh pengawal keselamatan manakala wanita warga asing dikendalikan oleh individu yang berperanan sebagai penyelaras atau “mummy” bagi mengatur perkhidmatan melayan pelanggan dan persembahan pentas.

“Bayaran perkhidmatan dipercayai ditentukan berdasarkan sistem kad berwarna dengan kadar antara RM100 hingga RM1,314,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata pihaknya menyita beberapa barangan dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti premis termasuk cip bayaran, kalung, set komputer serta kamera litar tertutup.

Beliau berkata semua warga asing ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut. 

Tujuh warga tempatan pula telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan