KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Tindakan pantas pihak berkuasa menahan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 25 Feb lepas kerana disyaki menghina agama Islam dengan memijak al-Quran membuktikan kerajaan tidak berdiam diri dalam menangani isu berkenaan.
Penganalisis jenayah bebas dan kriminologi Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata langkah tangkapan dan pembukaan kertas siasatan itu menunjukkan proses perundangan telah digerakkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata pihak polis telah bertindak pantas menahan pelajar berusia 21 tahun itu pada hari kejadian dilaporkan dan kertas siasatan dibuka serta-merta mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan reman turut dilanjutkan bagi melengkapkan siasatan.
“Apabila tangkapan telah dibuat dan siasatan dibuka mengikut peruntukan undang-undang, itu jelas menunjukkan tindakan telah diambil. Bagaimanapun, siasatan tetap perlu dijalankan secara teliti dan tidak boleh tergesa-gesa kerana kes ini melibatkan sensitiviti agama,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung isu provokasi agama, selain menegaskan tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas.
Menurut beliau, dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tindakan diambil berdasarkan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi menerusi media sosial.
Sementara itu, Pakar Kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy menjelaskan pembukaan kertas siasatan oleh pihak polis serta semakan tatatertib di peringkat universiti adalah langkah rasmi yang menandakan proses perundangan dan institusi telah pun diaktifkan.
Beliau berkata pada peringkat ini, beberapa tindakan lazim sedang atau akan dilaksanakan termasuk rakaman percakapan suspek dan saksi, analisis kandungan digital, pengesahan ketulenan bahan bukti serta penilaian elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Pembukaan kertas siasatan bukan sekadar formaliti. Ia bermaksud setiap aspek kes sedang diperincikan bagi menentukan sama ada wujud elemen kesalahan jenayah atau pelanggaran tatatertib institusi,” katanya.
Sundramoorthy berkata proses itu kebiasaannya dijalankan secara tertutup kerana pendedahan terperinci secara pramatang boleh menjejaskan integriti bukti, mempengaruhi saksi atau memprejudis prosiding mahkamah serta tindakan tatatertib.
“Ketelusan amat penting untuk mengekalkan keyakinan awam, namun ia perlu bersifat tatacara dan bukannya bukti. Pihak berkuasa boleh memaklumkan bahawa siasatan sedang berjalan serta menyatakan peruntukan undang-undang terlibat, tetapi tidak wajar mendedahkan butiran operasi atau bukti yang masih dianalisis,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk bertenang dan memberi ruang kepada proses sewajarnya kerana spekulasi dalam talian serta desakan untuk tindakan hukuman segera boleh menjejaskan keharmonian sosial, khususnya dalam isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang menyentuh sensitiviti mendalam antara komuniti.
Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata masyarakat boleh menyuarakan ketidakpuasan hati, namun ia perlu dibuat berlandaskan undang-undang sebagai asas dalam setiap reaksi dan tindakan melampaui batas hanya akan memburukkan keadaan.
“Kerajaan dan masyarakat juga mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kes yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran dan setakat semalam sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah dilaporkan berkata reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu disambung hingga 3 Mac selepas menerima arahan Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lanjut diambil bagi melengkapkan siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial