ICAD Tingkat Keyakinan Pelabur, Kukuh KL Sebagai Hab Serantau

02/03/2026 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Penubuhan Bahagian Komersial dan Admiralti Antarabangsa (ICAD) di Mahkamah Tinggi di sini dijangka meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Kuala Lumpur sebagai hab serantau bagi urusan perniagaan dan penyelesaian pertikaian.

Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata ICAD diwujudkan sebagai respons langsung terhadap keperluan semasa badan kehakiman, dengan penekanan lebih terhadap pengurusan berkesan serta pelupusan segera kes komersial melibatkan syarikat multinasional dan antarabangsa.

“ICAD menghimpunkan hakim yang pakar dalam bidang undang-undang komersial dan admiralti yang kompleks. Setiap kes akan diurus secara aktif sejak permohonan difailkan, dengan prosedur yang seimbang dan bersesuaian mengikut tahap kerumitan dan skala pertikaian yang dihadapi

“Masa adalah wang. Kepastian ada nilainya. Keadilan yang disampaikan dengan pantas dan berintegriti adalah antara tawaran paling bernilai yang mampu diberikan sesebuah negara kepada pihak yang memilih untuk menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ICAD di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri  Abu Bakar Jais; Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah; serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.

Ketua Hakim Negara menegaskan bahawa ICAD dilancarkan sebagai reformasi berwawasan, pada masa aliran perdagangan semakin kompleks, struktur pelaburan lebih canggih dan hubungan komersial merentasi sempadan menjadi lebih meluas berbanding sebelumnya.

Beliau berkata syarikat multinasional memerlukan mahkamah yang boleh dipercayai dengan jaminan bahawa jika timbul pertikaian, ia akan diselesaikan dengan kompeten, adil dan pantas.

“ Saya sedar bagi perniagaan dan pelabur, keyakinan terhadap mahkamah memainkan peranan nyata dalam menentukan lokasi pelaburan dan cara penyelesaian pertikaian.

“Apabila pelabur asing melaburkan modal di Malaysia atau syarikat multinasional membuka operasi di sini, pertimbangan mereka melangkaui insentif cukai atau kemudahan infrastruktur semata-mata.

“Perkara ini bukan bersifat abstrak. Ia menyentuh teras keyakinan pelabur dan keyakinan pelabur pula menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Wan Ahmad Farid berkata penubuhan ICAD jelas menunjukkan bahawa Malaysia serius dalam kedudukannya bukan sahaja sebagai negara perdagangan tetapi juga sebagai negara maritim dan mahkamah negara bersedia sepenuhnya untuk menyokong realiti itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Wan Muhammad Amin Wan Yahya dilantik untuk mempengerusikan mahkamah ICAD yang baharu.

Dalam sidang media selepas itu, Wan Ahmad Farid memaklumkan terdapat 116 kes aktif di hadapan ICAD, dengan 54 daripadanya adalah kes maritim.

“Saya memberi tempoh enam bulan untuk memantau operasi ICAD. Kita akan melihat jika terdapat keperluan untuk menubuhkan lebih banyak mahkamah ICAD,” katanya sambil memaklumkan setiap kes di ICAD mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diselesaikan.

Bagi  tahun 2024, sejumlah 7,390 kes komersial telah didaftarkan di Mahkamah Komersial Kuala Lumpur sebelum meningkat kepada 9,671 kes pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan