Pelajar Institusi Pendidikan Cedera Dipukul Senior 

06/03/2026 12:40 AM

KUANTAN, 5 Mac (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki di sebuah institusi pendidikan di Pekan cedera dipercayai akibat dipukul oleh dua pelajar senior pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Zaidi Mat Zin berkata pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan mangsa berusia 16 tahun itu pada 1.05 tengah hari semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 petang ketika mangsa dipanggil oleh dua pelajar senior masing-masing berusia 19 tahun ke belakang sebuah bengkel di institusi itu. 

“Mangsa mendakwa dipukul dan ditolak oleh individu terbabit hingga menyebabkannya mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher, dada, lengan dan lutut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zaidi berkata siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang tidak memohon maaf kepada tenaga pengajar atas kesalahan menghisap rokok elektronik di kawasan institusi pendidikan berkenaan. 

Beliau berkata polis telah merakam keterangan mangsa dan dua suspek terbabit dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan