KUCHING, 2 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak menggagalkan aktiviti penyeludupan migran dengan penahanan 16 warga asing menerusi Ops Serkap di kawasan sempadan Biawak, Lundu, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, jabatan itu memaklumkan operasi dijalankan hasil maklumat risikan mengenai laluan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Biawak.
“Ketika operasi pagi tadi, sembilan anggota Pasukan Tindakan Khas jabatan itu mengesan dan mengekori dua kenderaan dipercayai membawa migran dari kawasan hutan sebelum ditahan di tepi jalan berhampiran Lorong Opek 8, Jalan Biawak.
“Hasil pemeriksaan menemukan warga asing terbabit terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” menurut hantaran itu.
JIM Sarawak memaklumkan dua kenderaan terbabit turut disita manakala kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 5(1), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial