Anggota Tentera Parah Dipukul Masih Tidak Stabil - PTD

04/04/2026 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menjadi mangsa pukul di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong baru-baru ini dilaporkan masih tidak stabil dan memerlukan sokongan bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata insiden kekerasan melampau dalam TDM tidak boleh diterima sama sekali dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya suspek didapati bersalah.

“Kita menunggu hasil siasatan polis dan pada masa sama, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan di peringkat TDM,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Azhan berkata beliau akan ke hospital berkenaan hari ini untuk melawat serta mendapatkan perkembangan terkini mangsa.

Seorang anggota tentera Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dipercayai dipukul dalam satu kejadian di Kem Batalion 25 RAMD Bentong, pada 30 Mac lepas.

TDM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan akibat insiden itu, anggota berkenaan telah tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong dan kini menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di HOSHAS.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berumur 37 tahun bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Azhan berkata suspek akan ditempatkan di bawah pengawasan rapi dan tidak dibenarkan bercampur dengan anggota lain sejurus dibebaskan daripada tahanan reman.

“Mereka yang tidak dapat mengawal emosi sehingga melakukan kekerasan melampau tidak sesuai berada dalam TDM,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan