Ops Tiris: Lima Kenderaan Dipercayai Diubah Suai Dengan Tangki Tambahan Dirampas

01/06/2026 10:11 PM

KANGAR, 1 Jun (Bernama) -- Polis merampas lima kenderaan dipercayai diubah suai dengan tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan bahan api dalam kuantiti besar, dalam operasi di beberapa lokasi sekitar Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata rampasan melibatkan sebuah pikap dan empat kereta jenis sedan itu dibuat menerusi Pasukan Petugas Ops Tiris 4.0 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi tempoh 22 April lepas hingga hari ini.

Beliau berkata turut ditahan tiga individu warga tempatan termasuk seorang wanita serta dua lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

“Tiga kenderaan tempatan dan dua kenderaan negara asing yang dirampas ini dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM36,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan mengubah suai kenderaan bermotor hingga menjadikan ia tidak mematuhi spesifikasi asal atau tidak sah di sisi undang-undang. 

Beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi serta sebarang bentuk jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan