56 Warga Asing, Seorang Lelaki Tempatan Direman Bantu Siasatan Penipuan Pelaburan Dalam Talian

02/06/2026 06:08 PM

LABUAN, 2 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap 57 individu bagi membantu siasatan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai menyasarkan mangsa di Korea Selatan.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Dr Mellisa Chia Pui Fung selepas polis membuat permohonan itu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Suspek yang terdiri daripada 50 lelaki dan tujuh wanita berusia 20 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah premis di sini pada 8.40 pagi semalam. 

Mereka terdiri daripada 48 warga China termasuk empat wanita, lapan dari Vietnam dengan tiga daripadanya wanita dan seorang lelaki warga tempatan. 

Serbuan dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan pasukan polis yang diketuai pegawai Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Operasi turut melibatkan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kota Kinabalu, Labuan, Keningau, Penampang, Beaufort dan Sipitang.

Siasatan awal mempercayai sindiket itu mula beroperasi di premis tersebut pada April lepas. 

Polis merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM131,500 pada serbuan itu. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu dan bersubahat melakukan jenayah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan