GEORGE TOWN, 2 Jun (Bernama) -- Polis giat mengesan suspek disyaki terlibat kejadian mencuri kabel telekomunikasi di Jalan Batu Uban di sini, yang tular di media sosial hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang juruteknik Telekom Malaysia (TM) berusia 41 tahun pada 10.50 pagi tadi.
“Pengadu memaklumkan melihat satu video tular berdurasi satu minit 24 saat yang memaparkan kejadian mencuri kabel di tepi jalan Jalan Batu Uban 1, Gelugor.
“Pengadu telah melakukan pemeriksaan dan mendapati kabel telekomunikasi milik TM dianggarkan sepanjang 70 meter bernilai RM17,000 dipotong dan dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata suspek dipercayai menggunakan kenderaan Mazda 6 Hatchback berwarna gelap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerusi talian 04-228 2222 atau 04-218 1881.
Menerusi rakaman video tular itu, sebuah kereta berwarna gelap dikejar beberapa penunggang motosikal selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial