PASIR MAS, 4 Jun (Bernama) -- Lapan nelayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 19,836 liter minyak diesel bersubsidi tanpa lesen yang sah pada April lepas.
Orang Kena Saman (OKS) Mohd Raffi Ramli, 47; Haziq Haiqal Bahrom, 24; Zawawi Zakaria, 48; Mohd Shahrul Azan Ismail, 39; Mohd Zurin Yahya, 51; Muhammad Nor Haffizi Azhar, 24; Muhamad Haika Dalwis, 22; dan Ahmad Fahami Sukrie Mohamad, 33 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa telah ada dalam kawalannya barang kawalan berjadual minyak diesel sebanyak 19,836.768 liter dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak yang munasabah, di Pengkalan Nazori Kampung Geting, Tumpat antara 4.53 hingga 4.55 petang pada 12 April lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa Muhammadi Iman Masjuri, manakala kesemua OKS diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Terdahulu, Muhammadi Iman memohon RM20,000 jaminan untuk setiap pertuduhan ke atas OKS dengan mengambil kira kes serius yang melibatkan barangan kawalan serta kepentingan awam, bagaimanapun Mohd Azrul Hasyimi memohon jaminan paling minimum diberikan memandangkan mereka tidak lagi mempunyai pendapatan selepas bot yang digunakan dirampas.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Muhamad Haika dan Ahmad Fahami Sukrie diikat jamin RM4,000, manakala enam lagi OKS yang lain sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial