Lebih 1,000 Orkid Seludup Bernilai RM280,000 Dirampas, Disyaki Bawa Perosak

05/06/2026 05:23 PM

KOTA BHARU, 5 Jun (Bernama) -- Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mematahkan cubaan menyeludup masuk 1,400 pokok orkid dari Thailand bernilai RM280,000, yang disyaki mengandungi serangga perosak dalam Ops Taring Wawasan di Kampung Lalang Pepuyu, Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu, dilakukan selepas pihak berkuasa yang sedang melakukan rondaan mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan 1,400 pokok orkid, yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran tanpa kebenaran sah serta berpotensi membawa ancaman kepada sektor pertanian tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 20 tahun itu mengambil bekalan pokok orkid berkenaan daripada sebuah nurseri di sekitar Kampung Rahmat, Rantau Panjang, sebelum dipercayai dihantar ke Pantai Timur terutama di Terengganu dan Pahang kerana permintaan tinggi terhadap tanaman hiasan eksotik itu.

Ahmad Radzi berkata semua pokok orkid yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut, termasuk pemeriksaan berkaitan risiko perosak dan pematuhan syarat kuarantin tumbuhan.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM400,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 kerana membawa masuk tumbuhan tanpa kebenaran dan tidak mematuhi keperluan kuarantin ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan