IPOH, 5 Jun (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar, dalam satu kejadian di Jalan Raja Ashman Shah di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki warga tempatan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 1.26 pagi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa membunyikan hon terhadap sebuah motosikal yang ditunggang secara tidak stabil dan hampir memasuki laluannya.
“Akibat daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM1,500,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Muhammad Najib berkata polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30 tahun serta menunggang sebuah motosikal jenis Honda Dash berwarna biru.
“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh sedang dianalisis bagi membantu siasatan, namun nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti dengan jelas,” katanya.
Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial menerusi laman Threads dan Facebook yang memaparkan seorang penunggang motosikal memecahkan cermin hadapan sebuah kereta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial