KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Seramai 27 individu, termasuk pelajar tahfiz dan penghuni pondok warga emas, berada dalam keadaan stabil selepas disyaki mengalami keracunan makanan di sebuah pusat pengajian agama di Kundang, Rawang, dekat sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata semua mangsa berusia antara 13 hingga 84 tahun mengalami gejala muntah dan cirit-birit selepas menikmati hidangan yang diperoleh daripada sumber luar.
"Kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran serta Hospital Sungai Buloh dan siasatan lanjut berhubung kes ini kini dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta mengambil keterangan dan sampel makanan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Mohd Hafiz berkata KKM turut membuka kertas siasatan mengikut Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau berkata mana-mana peniaga atau individu yang terbabit dalam penyediaan dan pengendalian makanan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi aspek kebersihan, keselamatan serta garis panduan kesihatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Katanya individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-450 7492 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial