Kanak-kanak Mangsa Kemalangan Proton X50 Dengan Lori Dilapor Stabil - Polis

08/06/2026 05:28 PM

SUNGAI PETANI, 8 Jun (Bernama) -- Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang sebelum ini cedera parah dalam kemalangan tragis mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, semalam, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, yang sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hari ini, untuk rawatan lanjut 

“Mangsa yang cedera, kanak-kanak perempuan itu masih dirawat. Walaupun mengalami kecederaan serius, dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Biar kami jalankan siasatan, jangan buat spekulasi dan jangan beri pandangan yang mungkin boleh mengganggu siasatan.

“Terima kasih kepada pemilik kenderaan lain yang menyalurkan rakaman papan pemuka. Jika ada saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat, mereka boleh tampil memaklumkannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Aulia Sofea, Siti Nur Atiqah Ahmad Shukri, 32, berharap agar kanak-kanak itu kembali sihat seperti biasa.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang semalam, enam sekeluarga termasuk seorang bayi meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah.

Kesemua mangsa menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tanah ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah mengesahkan kenderaan Proton X50 yang dinaiki keluarga malang itu, dipandu oleh pemilik kenderaan itu sendiri iaitu Ahmad Fahim Ahmad Shukri dan bukan abangnya Ahmad Syafiq, 29.

Beliau berkata berlaku kesilapan pada maklumat awal yang mengatakan SUV itu dipandu Ahmad Syafiq, yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.

“Pada awalnya, polis dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa SUV itu dipandu oleh anggota polis. Bagaimanapun, pagi ini telah disahkan bahawa kenderaan itu dipandu adik kepada anggota polis itu. Berlaku kekhilafan atas maklumat yang diterima,” katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan