KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara hari ini menahan tiga lelaki dan merampas tiga lori yang membawa 600 batang kayu getah tanpa permit sah dalam operasi di Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas di sini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan dibuat pada 3.45 petang menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan yang dilaksanakan oleh Batalion 8 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Beliau berkata anggota PGA yang melakukan rondaan mengesan kesemua lori dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan dan memeriksa kenderaan itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lori membawa muatan kayu getah dan pemandunya gagal mengemukakan permit pemindahan hasil hutan yang sah daripada Jabatan Perhutanan... susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 65 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Ahmad Radzi berkata pihaknya merampas kesemua lori dan kayu getah terbabit yang dianggarkan bernilai RM456,000 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau juga berkata suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial