Polis Tahan Tiga Individu, Rampas Serbuk MDMA Bernilai RM1.2 Juta

11/06/2026 10:37 PM

GEORGE TOWN, 11 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu tempatan dan merampas methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM1.2 juta, dalam dua serbuan di Seberang Perai Tengah, dekat sini pada Selasa dan semalam.

Ketua Polis Negeri Datuk Azizee Ismail berkata dalam operasi bermula 2 petang Selasa hingga 10 pagi semalam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 33 tahun.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita sebelum merampas 302 peket plastik pelbagai warna mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 8,086.80 gram (g) bernilai RM1.211 juta.

“Susulan serbuan itu, di kawasan sama, polis turut menahan seorang lagi lelaki dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ kepada sindiket tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, sindiket itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak April lepas dan dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh sebanyak 26,956 penagih.

Azizee berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis ketamin, manakala semakan rekod lampau menunjukkan dua lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Beliau berkata polis turut menyita pelbagai harta dan wang tunai milik suspek bernilai RM215,783.20 antaranya dua buah kereta, 30 unit barangan kemas serta dua beg tangan berjenama, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta RM1.43 juta.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 16 Jun ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Azizie memaklumkan pihaknya menumpaskan dua pusat panggilan bagi sindiket penipuan pelaburan dalam talian, yang menyasarkan mangsa warga asing menerusi serbuan berasingan di Butterworth dan Batu Ferringhi, dekat sini semalam.

Dalam operasi pertama, beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Seberang Perai Utara (SPU), menyerbu sebuah premis di Butterworth sebelum menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 36 tahun dipercayai berperanan sebagai ejen pusat panggilan itu.

“Mereka mempromosikan pelaburan palsu secara dalam talian menggunakan platform media sosial Tantan, dengan menyasarkan mangsa warga Singapura. Polis turut merampas lima telefon bimbit, tiga komputer riba, sebuah modem, satu kad akses dan satu unit kunci rumah.

“Dalam operasi berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Timur Laut menyerbu sebuah premis di Batu Ferringhi, dipercayai menjadi pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dan pertukaran mata wang kripto USDT yang tidak wujud,” katanya.

Azizee berkata dalam serbuan itu, polis menahan lima individu warga asing termasuk dua wanita berusia 24 hingga 46 tahun dan siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mempromosikan pelaburan serta pertukaran mata wang kripto yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari China.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 10 buah telefon bimbit, empat buah komputer riba, satu unit CPU, dua papan kekunci, tiga tetikus komputer, sebuah penghala internet dan sebuah monitor yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Azizee berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana menipu dan pakatan jenayah, sementara semua tangkapan dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan