HULU SELANGOR, 27 Julai (Bernama) -- Bagi seorang mualaf yang berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran, antara tip mudah beliau menghafal surah ialah memahami terjemahan kitab suci itu agar menjadikannya bahan menyeronokkan untuk dibaca.
Lebih menarik, Tan Mike Foong, 23, yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, tidak menjadikan kecacatannya itu sebagai penghalang untuk beliau bergelar Huffaz suatu hari nanti.
"Selain memahami terjemahan al-Quran, saya juga cuba mengurangkan penggunaan gajet dan media sosial, kerana bagi saya smartphone dan laptop, adalah 'syaitan' paling besar yang sering menggoda manusia sehingga lalai.
"Dalam proses hafaz al-Quran, tiada jalan pintas, kita memang kena tekan diri kita sebanyak mungkin untuk fokus, lumrah menghafaz secara berulang juga akan menjadikan kita bosan, jadi saya memahami terjemahannya supaya ia menyeronokkan," katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvoskesyen Darul Quran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) kali ke-28 di sini hari ini.
Tan merupakan pelajar mualaf yang berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun dan kali pertama memperoleh Anugerah Khas dan menerima skrol Program Asas Tahfiz.
Beliau yang kini melanjutkan pelajaran ke Program Diploma Tahfiz al-Quran, ditemani ibunya, Ang Bee Cheng, 48, yang bukan beragama Islam pada majlis istiadat itu.
Tan yang mempelajari al-Quran menggunakan kaedah braille berkata beliau mahu memberi fokus dalam bidang tafsir serta hadis dan mahu melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi dalam tahfiz al-Quran.
Bekas pelajar pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Kuala Lumpur, itu berkata beliau mula memeluk Islam pada 2015 tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Tan tertarik dengan agama Islam apabila sering terdengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari masjid di belakang sekolahnya setiap kali masuk waktu solat.
Sementara itu, pada istiadat konvokesyen, 723 graduan daripada lapan program pengajian yang ditawarkan di Darul Quran menerima diploma dan sijil masing-masing.
Selain Tan, enam graduan etnik pribumi Sabah dan Sarawak, juga buat pertama kali menerima skrol program Sijil Asas Tahfiz serta disahkan menghafaz 10 juzuk al-Quran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial