ROMPIN, 6 Sept (Bernama) -- The Holstein Milk Co Sdn Bhd (Holstein Milk), pengeluar susu jenama Farm Fresh, melabur sebanyak RM85 juta bagi membeli sebuah ladang dan kilang tenusu di Melbourne, Australia, bagi meningkatkan pengeluarannya.
Pengarah Operasinya, Azmi Zainal, berkata daripada jumlah pelaburan berkenaan, RM45 juta adalah bagi pembelian sebuah kilang syarikat tenusu manakala RM40 juta lagi untuk pembelian ladang berkeluasan 607 hektar serta mewujudkan bank sperma bagi tujuan pembenihan baka lembu.
“Kita mengambil alih kilang berkenaan pada Julai lalu dan pada masa ini dalam peringkat pengubahsuaian serta kerja-kerja membawa masuk mesin yang diperlukan untuk memproses susu segar.
“Apabila siap, dijangka awal tahun depan, ia mampu mengeluarkan sebanyak 27,000 liter susu segar sehari yang akan dibawa masuk ke negara ini untuk diproses semula di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) bagi memenuhi permintaan di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan kerja Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ke ladang berkenaan di sini, hari ini, yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.
Azmi berkata, melalui pelaburan itu, syarikat berkenaan dijangka mampu menguasai hampir 30 peratus pengeluaran susu negara berbanding 17 peratus selama ini.
Syarikat yang beroperasi di Muadazam Shah, di sini, di tanah seluas 12 hektar itu, menghasilkan 80,000 liter susu sehari yang mana 60,000 liter adalah susu UHT (Ultra High Temperature) dan 20,000 liter susu segar.
Ia dihasilkan oleh 2,800 lembu baka bermutu tinggi termasuk jenis Holstein.
“Sebagai tambahan, syarikat berkenaan dibantu kira-kira 15 penternak satelit di negeri ini termasuk dari Panching dan Pekan,” katanya.
Sementara itu, dalam usaha memperluaskan lagi pasaran susu segarnya, Holstein Milk turut memperkenalkan susu UHT dalam pek baharu berbentuk ‘tetra edge’ 200 mililiter berperisa coklat, kurma dan kopi latte.
Azmi berkata, pek baharu yang diperkenalkan pada Julai lalu itu, disasarkan kepada pelajar sekolah kerana tahan lebih lama pada cuaca panas berbanding susu segar biasa yang dipasarkan syarikat itu sebelum ini.
“Pada peringkat permulaan, kita mengeluarkan 15,000 liter sehari dan ia mendapat sambutan amat menggalakkan dan dalam proses mempertingkatkan pengeluaran sehingga 30,000 liter sehari,” katanya.
Untuk rekod, selain Malaysia, Farm Fresh juga dipasarkan di Singapura dan dijangka memasuki pasaran Filipina tahun hadapan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial