PORT DICKSON, 28 Sept (Bernama) -- Bekas Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah menafikan dakwaan bahawa beliau menerima RM25 juta bagi mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson.
Danyal Balagopal akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang mengenai dakwaan itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang membuat tuduhan itu.
"Selain daripada tuduhan bahawa saya telah mengambil RM25 juta untuk peletakan jawatan, kini terdapat suatu artikel dalam sebuah portal berita berkenaan seorang 'ex-bartender' membayangkan saya seorang laksamana bersara yang korup dan perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Saya dikenali sebagai orang yang mudah memaafkan seseorang, bagaimanapun saya tidak boleh membenarkan seseorang mengambil kesempatan atas personaliti saya dan dengan sengaja memfitnah saya," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Sebelum ini, terdapat laporan berita yang mendakwa kononnya Danyal Balagopal menerima RM25 juta bagi mengosongkan kerusi parlimen itu untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Beliau menjelaskan bahawa perletakan jawatannya adalah atas inisiatif sendiri tanpa desakan mana-mana pihak termasuk Anwar sendiri.
Danyal Balagopal mengosongkan Kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 Sept lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Pada PRK kali ini Anwar antara lain dijangka berdepan dengan calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial