EKONOMI

MTDC perkenal alat bantu fisioterapi keluaran usahawan tempatan

03/10/2018 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini memperkenalkan satu teknologi baharu untuk membantu amalan fisioterapi pergelangan tangan khusus buat pesakit strok dan pesakit yang menjalani terapi di bahagian sama.

Produk yang dinamakan ‘Wrehab’ itu dibangunkan oleh penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Idris Mat Sahat dengan kerjasama pakar fisioterapi swasta Narimah Daud.

Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata idea yang dicetuskan Narimah dan usaha menghasilkan produk tersebut oleh UMP telah dipilih untuk dibawa ke dalam program Usahawan Simbiosis MTDC.

“Di bawah program ini, kita telah membiayai sekumpulan usahawan muda di bawah Dana Pengkomersialan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) Satu berjumlah RM 335 ribu.

“Di bawah seliaan MTDC, kumpulan usahawan muda ini menubuhkan syarikat Medivice PLT yang bekerjasama dengan UMP untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi tempatan itu,” katanya.

Norhalim dalam sidang media selepas pra-pelancaran Wrehab berkata Medivice PLT berjaya membangunkan prototaip Wrehab dalam bentuk komersial dan boleh dikeluarkan dengan skala yang besar untuk pasaran dalam dan luar negara.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Profesor Datuk Dr Yusserrie Zainuddin.

Ketua Pegawai Eksekutif Medivice PLT Mohd Sharul Fizam berkata Wrehab turut diperkenalkan kepada pengamal industri dari kalangan doktor, pakar dan juru terapi.

“Mereka akan mencuba alat terapi mudah alih seberat empat kilogram itu selama sebulan di lokasi masing-masing bagi tujuan pengumpulan data untuk penambahbaikan produk sebelum ia dipasarkan,” katanya.

Sementara itu Pakar Rehab dari Jabatan Perubatan Rehibilitasi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Dr Rahimah Nawi berkata penghasilan teknologi seumpama itu adalah yang pertama di negara ini dan amat berguna dalam menjimatkan masa, tenaga dan membantu melancarkan sesi fisiotetapi.

“Perkongsian mereka dengan pakar dan juru terapi sebelum ia dipasarkan amat baik kerana kita boleh memberi maklum balas untuk penambahbaikan produk.

“Kita juga telah beri cadangan seperti menyediakan tapak yang lebih panjang untuk menampung lengan pesakit serta menambah penampung di bahagian pemegang alat kerana kita tahu pesakit strok misalnya, lemah di bahagian jari jemari dan tidak dapat menggenggam pemegang alat berkenaan,” kata Dr Rahimah.

Idris yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal positif dengan setiap cadangan yang diberi dan akan bekerjasama dengan Medivice PLT untuk fasa penambahbaikan Wrehab.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan