PORT DICKSON, 8 Okt (Bernama) -- Seramai 7,191 daripada jumlah keseluruhan 7,268 pengundi awal yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil Port Dickson esok.
Seramai 77 orang selebihnya iaitu 23 anggota polis dan 54 anggota tentera akan mengundi secara pos.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, daripada 7,191 pengundi itu, seramai 6,636 orang anggota tentera dan pasangan mereka akan mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan di Dewan Serbaguna, Kem Segenting PD, manakala seramai 555 anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
"Pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang, kecuali tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu khemah A, B dan C akan ditutup awal pada jam 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang sedikit.
"Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan di samping pemerhati-pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.
Azhar Azizan berkata, proses pengiraan undi awal tidak dibuat di tempat mengundi (saluran) selepas pengundian, sebaliknya peti-peti disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.
Pengiraan undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 13 Okt, iaitu hari pengundian biasa PRK itu, secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR, katanya.
PRK Parlimen Port Dickson yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Teluk Kemang sebelum persempadanan semula pada 2018 menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.
Pertandingan membabitkan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon PAS Lt.Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar; dan empat calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad; bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan; Lau Seck Yan, personaliti media sosial; Stevie Chan Keng Leong; dan Kan Chee Yuen.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi itu pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga Ketua Umum PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).
SPR menetapkan Sabtu ini (13 Okt) sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial