Oleh Jenny Imanina Lanong Abdullah
CYBERJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menerima 3,266 aduan berkaitan masalah komunikasi dan multimedia di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Pengerusinya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata pertikaian bil merupakan masalah komunikasi yang paling tinggi dilaporkan pengguna kepada CFM.
“Daripada keseluruhan 3,266 aduan yang diterima bagi tempoh Januari sehingga September 2018, sebanyak 86 peratus berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari seperti yang ditetapkan di dalam Kod Amalan Am Pengguna untuk industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC),” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Tahunan CFM Ke-17 di sini, hari ini.
Mengikut rekod CFM setakat September ini, selain pertikaian bil, antara aduan lain yang dilaporkan oleh pengguna adalah gangguan perkhidmatan, tiada liputan untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi selain liputan evolusi jangka panjang 4G (LTE) yang tidak memuaskan.
"Masalah telekomunikasi mengenai perkhidmatan selular menjadi perkhidmatan yang paling tinggi kerap dilaporkan oleh pengguna diikuti dengan jalur lebar berkelajuan tinggi dan jalur lebar tanpa wayar.
"Kebanyakan aduan yang diterima adalah disebabkan masalah pertikaian bil dan isu tentang gangguan perkhidmatan," kata Mohamad Yusrizal.
Mengulas lanjut, beliau berkata aduan berkaitan harga juga dilihat mencatatkan peningkatan yang paling ketara sejak Ogos lepas, dengan 13 aduan meningkat kepada 64 aduan pada September.
Peningkatan aduan berkenaan harga adalah susulan saranan penurunan harga perkhidmatan jalur lebar oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo selepas pelaksanaan Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) pada Jun lepas.
Menurut Mohamad Yusrizal, beberapa penyedia perkhidmatan telah menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar baru-baru ini dan CFM akan terus memantau untuk memastikan pengguna terus mendapatkan perkhidmatan jalur lebar terbaik.
"Pengguna dinasihatkan agar sentiasa memastikan mereka mendapatkan maklumat yang cukup terutama dalam memilih perkhidmatan telekomunikasi dan tidak hanya tertarik kepada tawaran harga yang lebih murah tetapi perlu juga melihat kualiti servis yang disediakan oleh pihak penyedia perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, perbandingan jumlah aduan yang diterima dengan tempoh yang sama pada tahun lepas menunjukkan terdapat penurunan.
Mohamad Yusrizal berkata berlaku penurunan dalam jumlah aduan kerana pengguna mempunyai saluran lain untuk membuat aduan iaitu secara terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Walaupun begitu, ada pengguna lebih selesa membuat aduan kepada CFM dan CFM memohon kepada SKMM agar saluran aduan CFM dikekalkan. SKMM telah bersetuju dan memberi ruang kepada CFM untuk mengambil aduan secara keseluruhan.
“Pihak CFM dalam masa yang sama berusaha menambahbaik saluran untuk pengguna membuat aduan dan menaiktaraf struktur dalam CFM bagi membolehkannya mengambil kesemua aduan pengguna. Ini dijangka dapat dilaksanakan pada Disember tahun ini,” katanya.
Sementara itu, dalam masa yang sama CFM menurut beliau berusaha untuk memendekkan tempoh penyelesaian aduan semasa daripada 15 hari masa bekerja kepada tempoh yang lebih pendek.
CFM yang ditubuhkan pada 2001 menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.
CFM juga merupakan saluran bagi menyelesaikan aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia dimana pengguna boleh mengemukakan aduan mereka melalui saluran portal aduan https://aduan.skmm.gov.my, aplikasi mudah alih ‘My Mobile Rights’ atau menghadirkan diri ke pejabat CFM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial