KUANTAN, 9 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini memperkenalkan aplikasi pengesahan perakuan sijil graduan menggunakan teknologi 'blockchain' yang dinamakan UMP Valid8.
Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata aplikasi pengesahan sijil itu yang menggunakan sistem pengimbas kod respon pantas (QR) bagi memastikan ketulenan sijil graduan itu diperkenalkan sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-13 yang bermula esok.
"Aplikasi UMP Valid8 ini berfungsi untuk merekodkan maklumat pendidikan graduan UMP yang disimpan dalam bentuk kod QR unik yang menjadi satu rantaian rekod data ‘blockchain’.
"Bagi mengakses maklumat, graduan hanya perlu mengimbas kod QR yang akan memaparkan gambar, nama penuh, program pengajian serta tahun anugerah mereka," katanya pada sidang media di UMP Kampus Gambang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM Dr Mohamed Ariff Ameedeen.
Daing Nasir menambah semua data graduan universiti yang disimpan di dalam 'blockchain' itu adalah sulit dan tidak dapat dipalsukan atau digodam.
Beliau berkata aplikasi UMP Valid8 bukan hanya memanfaatkan 2,773 graduan UMP yang tamat pengajian pada majlis konvokesyen tahun ini, tetapi juga memudahkan bakal majikan untuk membuat pengesahan.
"Penggunaan teknologi ini juga selari dengan pelan strategik lima tahun UMP (2016-2020) iaitu menjana kegemilangan yang aplikasi ini adalah projek perintis hasil Pusat Kecemerlangan IBM dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Industri (FIM) bersama kumpulan Alumni UMP," katanya.
Daing Nasir menambah UMP juga bersedia menawarkan khidmat perkongsian kepakaran dalam teknologi pengesahan perakuan sijil kepada institusi atau agensi yang berminat.
Pada perkembangan lain, Daing Nasir memaklumkan UMP buat julung kalinya memperkenalkan penggunaan e-Book Konvokesyen pada majlis esok, sebagai sebahagian daripada amalan hijau yang menjadi amalan universiti.
"Selain menyokong amalan hijau, penggunaan e-Book Konvokesyen juga sebahagian langkah meningkatkan penggunaan teknologi hijau universiti dalam penarafan UI GreenMetric World Rankings," katanya.
Daing Nasir menambah e-Book Konvokesyen membolehkan ibu bapa dan graduan mendapatkan maklumat berkaitan majlis konvokesyen dengan lebih pantas menggunakan aplikasi ’UMP Convocation’ yang menggunakan sisem Android versi 4.0 ke atas dan iOS versi 8.0 ke atas.
Majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula esok di UMP Kampus Gambang dijadualkan akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Canselor universiti itu.
Daripada 2,773 graduan, 63 penerima merupakan graduan kedoktoran, 172 orang (sarjana), 221 orang (sarjana eksekutif), 1,713 orang (sarjana muda), 40 orang (dwi-ijazah), 52 orang (ijazah sarjana muda eksekutif), 270 orang (diploma) dan bakinya ialah graduan diploma eksekutif.
Semua mereka terdiri daripada sembilan fakulti dan dua pusat pengajian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial