AM

Hukuman perlu setimpal untuk ganti hukuman mati berkaitan dadah - AADK

14/11/2018 04:59 PM

PADANG BESAR, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan wajar memperkenalkan hukuman yang setimpal bagi menggantikan hukuman mati bersabit kesalahan dadah, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

“Jika kerajaan putuskan hukuman gantung dimansuhkan, apa sahaja kesalahan penggunaan dadah perlu dikenakan hukuman yang setimpal bagi menggantikan hukuman mati,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Bukit Cabang di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet untuk memansuhkan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya hukuman tegas perlu sebagai bentuk pencegahan memandangkan bukan semua kesalahan yang melibatkan dadah boleh dikenakan hukuman gantung.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata dua kawasan di Perlis iaitu Kuala Perlis dan Simpang Empat antara 178 kawasan yang dikenalpasti sebagai zon merah atau panas berlaku gejala penagihan dadah.

Menurutnya dua lagi kawasan iaitu Arau yang sebelum ini dalam zon merah telah bertukar status ke zon kuning manakala Kangar kini berstatus hijau daripada zon kuning.

“Kedudukan Perlis yang berdekatan dengan sempadan memudahkan mereka mendapat sumber dadah dengan mudah,” katanya.

“Kita akan terus berusaha membanteras penyalahgunaan dadah di seluruh negara untuk menjadikan semua kawasan hijau,” tambahnya. 

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhiyddin Yassin sebelum ini mendedahkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi ialah Pahang sebanyak 16,150 kes; Kelantan (16,918); Terengganu (10,576); dan Perlis (2,123).

Mengenai pembinaan CCRC Bukit Cabang, Zulkifli berkata projek yang menelan kos RM35.2 juta itu dijangka siap menjelang akhir tahun depan, yakni lebih awal daripada jangkaan Mac 2020.

Beliau berkata dua lagi CCRC di Dengkil, Selangor dan Kuching, Sarawak sedang giat dilaksanakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan