SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu anggota PKR menggenggam erat idealisme dan agenda reformasi selepas mendapat kepercayaan rakyat membentuk kerajaan.
Katanya PKR harus menjadi menjadi sebuah parti yang hadir dalam kalangan masyarakat dan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam ucapan terakhirnya sebagai presiden, beliau menegaskan sebagai pejuang reformasi, PKR harus berbeza daripada rejim yang ditentang dahulu selain pendekatan dan amalan harus ada kelainan dan berbeza berbanding dahulu.
“Jangan sampai rakyat menempelak “ah…sama saja dengan yang dulu” jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini. Buktikan kita lebih baik, buktikan keputusan rakyat adalah tepat,” kata Dr Wan Azizah dalam ucapan dasarnya sebelum merasmikan Kongres Nasional PKR kali ke-13 di sini, hari ini.
Beliau juga dengan sebak memohon para anggota PKR kekal menjadi ‘reformis’, memperjuangkan hak rakyat sepertimana perjuangan parti itu sejak awal penubuhannya pada tahun 1999 dan gerakan reformasi yang bermula pada 1998.
“Kita berjuang membela yang hak dan menentang yang batil, kita tentang kemungkaran dan ajak kepada kebaikan, kita lawan kezaliman dan tegakkan keadilan, kita bela yang lemah dan santuni mereka yang gagah.
“Kita parti (yang) lahir daripada perjuangan keringat dan air mata, di jalanan, kita bukan lahir di istana. Tiada tokoh besar sertai kita di era awal perjuangan, namun kita tetap berjuang kerana kuatnya keyakinan kepada agenda reformasi,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dalam ucapannya yang bertemakan “Memaknai Demokrasi Menterjemah Reformasi”, Dr Wan Azizah menegaskan perjuangan PKR bukan kerana pangkat, harta, atau kebendaan.
Justeru, beliau juga memberi pengiktirafan kepada pejuang tulen PKR yang di sepanjang perjuangan sanggup berhenti kerja dan ada antara mereka yang jatuh bankrap bagi membiayai harga sebuah perjuangan, termasuk juga mereka yang tidak henti dicaci, dan dimasukkan ke dalam lokap.
Katanya dengan semangat Malaysia Baharu dan sesuai dengan janji dan prinsip yang parti perjuangkan, cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman harus ditekankan pemisahan kuasanya, selain memastikan amalan penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan penindasan tidak berulang.
Mengorak langkah parti ke hadapan, Dr Wan Azizah mahu barisan kepimpinan tertinggi baharu yang akan diperkenalkan esok, memberi penekanan dari aspek, disiplin dan pendidikan politik, selain melaksanakan latihan kepimpinan parti dengan segera dari peringkat cabang, sayap dan barisan kepimpinan tinggi parti tanpa kecuali.
Mengulas perjuangan parti, beliau berkata ramai reformis tidak mendapat pangkat atau apa-apa ganjaran pun sejak dahulu, jauh sekali menjadi wakil rakyat atau menteri.
“Sejak 1998 mereka bertungkus-lumus berjuang untuk parti sambil mencari nafkah untuk keluarga, hari ini setelah parti menang menjadi kerajaan pun mereka tetap kembali ke kampung, desa, dan warung bertungkus-lumus berjuang meneruskan hidup. Justeru layanilah mereka seadilnya.
Dr Wan Azizah yang juga mesra dengan panggilan ‘Kak Wan’ dalam kalangan anggota PKR menarik perhatian bahawa PKR kini berada di kedudukan terbaik sepanjang sejarah penubuhannya, namun beliau mengingatkan supaya pangkat, kuasa dan harta tidak mengaburi asas perjuangan dan dasar parti.
“Ingatlah kuasa, pangkat dan kedudukan ini adalah ujian untuk kita yang berada di puncak. Kekuasaan dan kedudukan yang kita miliki adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah dan parti yang kita naungi bukan kerana kekuatan kita seorang dua.
“Tanpa mereka di hadapan ini siapalah kita yang di atas ini?,” katanya mengingatkan para perwakilan bahawa keangkuhan akan membunuh idealisme perjuangan.
Dr Wan Azizah berkata penting agar semua anggota mampu menggarap idealisme dan prinsip perjuangan Keadilan dengan sebaik mungkin, selain menjadikan PKR disegani kawan dan digeruni lawan.
Beliau juga mahu calon yang dipilih menjawat jawatan dalam Pemilihan Parti menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, manakala yang tewas tidak disisihkan.
Dr Wan Azizah berkata sepanjang 20 tahun mengetuai PKR, beliau reda dengan setiap cabaran dan dugaan yang berlaku.
“Saya telah cuba lakukan yang sebaik mungkin dan termampu oleh kudrat dan daya upaya saya dengan keizinanNya. Namun sebagai insan biasa sudah tentu ada kurang dan cacat-celanya di sana sini.
“20 tahun adalah satu jangka masa yang panjang. Sudah pasti banyak salah silap yag berlaku, kadang terkasar bicara, tersalah gurau-senda, namun tiada ibu yang inginkan keburukan dan kejelekan buat anaknya.” tambahnya.
Turut hadir Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan parti.
Kongres kali ke-13 itu juga akan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi PKR, esok yang antara lain menyaksikan Ketua Umum PKR dipilih sebagai presiden parti baharu selepas menang tanpa ditandingi.
Anwar, baru-baru ini dipilih menjadi wakil rakyat selepas menang kerusi Parlimen Port Dickson dalam pertandingan tujuh penjuru.
Seramai 2,735 perwakilan menyertai kongres berkenaan yang bermula dengan kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial