POLITIK

Perbahasan sayap, ucapan dasar Mahathir tumpuan hari kedua PAT Bersatu

29/12/2018 09:52 AM

PUTRAJAYA, 29 Dis (Bernama) -- Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang masuk hari kedua hari ini dimuatkan dengan sesi perbahasan perwakilan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi pada perhimpunan tahunan kedua-dua sayap parti gabungan Pakatan Harapan itu.

Perasmian serentak perhimpunan sayap berkenaan disempurnakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi dengan kehadiran Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Harun.

 Atur cara hari ini dimulakan dengan penyampaian ucapan dasar pada perhimpunan masing-masing oleh Syed Saddiq dan Rina pada sebelah pagi sebelum kedua-duanya menyampaikan ucapan penggulungan pada sebelah petang.

Sesi perbahasan perwakilan dibuat secara tertutup.

Selesai perhimpunan tahunan Armada dan Srikandi, tumpuan beralih pada sebelah malam kepada Dewan Plenary PICC.

Di hadapan sekitar 1,550 perwakilan, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucapan dasarnya pada PAT kali kedua parti berkenaan.

Ini merupakan PAT pertama Bersatu selepas penubuhan kerajaan Pakatan Harapan susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lalu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan