KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Merafak sembah setinggi tahniah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sempena diperkenan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku," katanya menerusi catatan di Twitter beliau.
Sultan Abdullah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini menyebut mesyuarat turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Menteri Pertahanan Mohammad Sabu menerusi Twitternya berkata : "Patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Abdullah atas pelantikan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku".
Menteri Besar Datuk Osman Sapian turut menzahirkan sembah tahniah kepada Sultan Abdullah atas pemilihan berkenaan dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya sebagai ketua kerajaan negeri mewakili kerajaan negeri dan rakyat Johor Darul Ta'zim mengucapkan sembah tahniah kepada Sultan Pahang dan Sultan Perak atas pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong," katanya yang ditemui pemberita di Johor Bahru.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkongsi kegembiraannya menerusi ucapan sembah tahniah atas pelantikan baginda di Twitter dan Facebook beliau.
"Patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah atas pelantikan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku," katanya.
Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memuat naik gambar beliau bersama baginda di akaun Instagramnya, berkata : "Daulat Tuanku. Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah...Sultan Pahang Darul Makmur atas pelantikan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI ".
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan Majlis Raja-Raja memilih Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin Shah masing-masing sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sekali gus meneruskan kesinambungan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, kerajaan negeri menjunjung kasih merafakkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin Shah atas pelantikan kedua-dua baginda bagi tempoh lima tahun bermula 31 Jan ini.
Menurutnya, kerajaan negeri mendoakan agar Sultan Abdullah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut merafak sembah tahniah kepada baginda berdua menerusi akaun Twitternya.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pengumuman Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 baik bagi memupuk perpaduan antara pelbagai kaum.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong yang baharu adalah seorang raja yang cukup terlatih yang mampu memimpin Malaysia ke arah kesejahteraan dan mencapai perpaduan nasional.
“Sarawak sudah tentu akan bekerjasama dengan Yang di-Pertuan Agong yang baharu untuk sama-sama mencapai kemajuan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan pembukaan kilang Iljin Materials Malaysia Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Sama di Kuching .
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong diharap akan menjadikan perjalanan serta pelaksanaan pentadbiran Malaysia khususnya dan negeri Selangor amnya lebih baik serta teratur.
“Saya selaku Menteri Besar negeri Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sebagai mewakili rakyat negeri Selangor saya juga ingin ucapkan tahniah kepada baginda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis penyerahan pembiayaan HIJRAH Selangor di Shah Alam hari ini.
Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merafak sembah tahniah kepada baginda menerusi Twitternya, berkata : “Merafak sembah setinggi tahniah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena diperkenan sebagai Yang Dipertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku”.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar menerusi Twitter berkata: “Patik mewakili warga perkhidmatan awam merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pemilihan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI selama tempoh lima tahun mulai 31 Jan 2019. Daulat Tuanku”.
Beliau turut merafak sembah tahniah atas pelantikan Sultan Nazrin Shah atas pemilihan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menzahirkan sembah ucapan tahniah kepada Sultan Abdullah yang dipilih bagi jawatan itu.
“Saya merafak sembah tahniah kepada baginda yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di Port Dickson, hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan ucapan sembah tahniah menerusi catatan di Facebooknya atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith turut merakam setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu.
Katanya pemilihan Sultan Abdullah merupakan satu berita gembira bukan sahaja untuk rakyat Pahang, tetapi Malaysia secara keseluruhan.
"Ini adalah kelebihan dan kebaikan kepada rakyat Pahang," katanya kepada pemberita ketika melawat penduduk di Pos Betau, dekat Kuala Lipis hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial