HOUSTON, 25 Jan (Bernama) -- Petinju China, Xu Can, akan mencabar juara dunia kelas feather kejohanan Persatuan Tinju Dunia (WBA), Jesus Rojas, dari Puerto Rico dalam satu pertarungan pada Sabtu di Houston, Texas, Amerika Syarikat.
Menurut agensi berita Xinhua, perlawanan itu akan berlangsung di Pusat Toyota, gelanggang tuan rumah bagi francais Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA), Houston Rockets.
Sebelum berlepas ke Amerika Syarikat pada Disember lepas, Xu berkata di Beijing bahawa beliau sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan itu.
"Sejak saya tahu saya boleh melontarkan cabaran untuk mendapatkan tali pinggang emas itu, saya sematkan dalam diri saya bahawa saya mampu melakukannya," kata petinju berusia 24 tahun itu.
"Saya percaya saya boleh membawa pulang tali pinggang emas itu ke China," kata Xu.
Dilahirkan di Wilayah Jiangxi, China, Xu memulakan latihan tinju secara profesional pada usia 16 tahun.
Beliau memiliki rekod 15 kemenangan, termasuk dua KO, dan dua kekalahan.
Ketika ini, Xu merupakan petinju China yang berada di kedudukan tertinggi dalam kelas feather (57.15kg), menurut statistik laman sesawang sukan tinju, boxrec.com.
Xu telah menjalani latihan di bawah seliaan jurulatih terkenal, Pedro Diaz, di Miami sejak 11 Jan.
Selepas kunjungan beliau ke Amerika Syarikat, Xu berlatih dengan bintang tinju Filipina Genesis Servania di kelab tinju M23 di Beijing.
Tujuh petinju China telah cuba meraih gelaran sebagai juara dunia namun hanya Xiong Chaozhong dan Zou Shiming berjaya melakukannya.
Jika Xu memenangi pertarungan yang bakal berlangsung, beliau akan menjadi petinju China termuda pernah memenangi tali pinggang emas itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial