KUANTAN, 19 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi universiti teknikal pertama dalam kalangan universiti teknikal (MTUN) di negara ini tersenarai dalam QS University Ranking Asia: 2019.
Naib Canselor UMP Professor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata menurut keputusan yang dikeluarkan pada penghujung tahun lepas UMP berada dalam kedudukan 188 terbaik di Asia.
“Kebolehpasaran graduan lepasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) adalah melepasi 95 peratus. Malah tenaga akademik UMP juga banyak menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi sekali gus membantu menjadikan universiti ini antara universiti teknikal terbaik di rantau Asia.
“Kita berbangga dengan pencapaian ini tetapi memandangkan UMP boleh dikira sebagai ‘budak’ kerana baru memasuki usia 17 tahun. Kita mahu menggiatkan usaha supaya kejayaan ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan pada masa hadapan,” katanya selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahunan Naib Canselor UMP di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP Professor Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP Professor Dr Wan Azhar Wan Yusoff; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Professor Dato Dr Yuserrie Zainuddin.
Dr Daing berkata UMP turut menerima penilaian lima bintang bagi kriteria Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dalam Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating 2018.
“Pihak QS juga menyenaraikan subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di UMP berada dalam kelompok 251-300 subjek terbaik di dunia.
“Selain itu, UMP juga mendapat pencapaian lima bintang dalam semua aspek penarafan termasuk Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) dan juga Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara,” katanya.
Pada majlis itu Dr Daing turut melancarkan Polisi Hijau UMP dan kempen inisiatif UMP Zero Single-Use Plastic bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga UMP.
“UMP juga akan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sisa yang merupakan salah satu bidang kesihatan persekitaran dengan memfokuskan kepada enam prinsip 6R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot dan Re-Think.
“Kita menggalakkan warga kampus membawa bekas makanan sendiri menggantikan polisterin dan plastik membungkus makanan, dan juga beg bagi mengisi makanan bagi menggantikan beg plastik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial