AM

Kematian pelajar tingkatan 4 bukan disebabkan strok haba - Jabatan Kesihatan Labuan

05/03/2019 01:56 PM

LABUAN, 5 Mac (Bernama) -- Kematian seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha ketika mengambil bahagian dalam acara larian pada temasya sukan sekolah itu baru-baru ini bukan disebabkan strok haba.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata kematian Norsahfiza Jaratin pada 17 Feb lepas masih belum dipastikan.

“Suhu persekitaran pulau semasa hari sukan itu dilaporkan pada 24 ke 31 darjah Celcius, iaitu di bawah 35. Suhu itu adalah normal dan tidak mungkin menyebabkan strok haba,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni membuat kenyataan itu untuk memberi penjelasan mengenai hantaran dan rakaman video yang tular di platform media sosial mengatakan kematian pelajar itu adalah disebabkan strok haba kerana cuaca panas pada masa ini.

Norsahfiza, 16, pelari pecut bagi acara 200 meter tiba-tiba rebah kira-kira 20 meter dari garisan penamat di padang sukan Kolej Matrikulasi Labuan pada 8.40 pagi.

Kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memberi bantuan kecemasan sebelum beliau dihantar ke unit kecemasan Hospital Nukleus Labuan pada 9.20 pagi.

“Walaupun keadaan pelajar itu kritikal, suhu badannya adalah 37 darjah Celcius, iaitu suhu normal bagi tubuh manusia,” katanya.

Dr Ismuni berkata bantuan kecemasan dan resusitasi juga diberikan tetapi tiada tindak balas dan dia meninggal dunia pada 9.45 pagi hari yang sama.

“Bedah siasat telah dibuat dan sedang menunggu keputusan, Justeru, jabatan kami mengesahkan bahawa kematian pelajar itu bukan disebabkan strok haba seperti didakwa, kita harap tiada lagi tular mengenai punca kejadian itu,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan