AM

Manusia kalkulator jamin beri aksi terbaik dalam Final Asia's Got Talent

29/03/2019 11:05 PM

 

KUALA LUMPUR, 29 Mac ( Bernama) -- Dalam masa kurang sesaat , soalan matematik yang diajukan juri Asia’s  Got Talent dijawab dengan tepat oleh Yaashwin Sarawanan tanpa menggunakan kalkulator. 

Kepantasan pelajar berusia 15 tahun daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 memukau juri dan seterusnya membawa Yaashwin ke peringkat akhir pertandingan berprestij itu yang akan berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura pada 4 April ini.

Digelar sebagai Manusia Kalkulator, remaja Malaysia ini memberi jaminan akan memberi aksi terbaik pada peringkat akhir Asia’s Got Talent, minggu hadapan.  

Walaupun, keberatan untuk mendedahkan persembahannya pada final, Juara  Pertandingan  Dekak-dekak dan Aritmetik Congak Antarabangsa 2017 itu pasti aksinya akan mencuri perhatian pengundi dan juri.

“Sudah tentu konsepnya akan berbeza daripada apa yang saya lakukan semasa uji bakat dan peringkat separuh akhir. Ini adalah pertandingan bakat dan penilaian adalah sangat subjektif. Tidak termasuk, harapan daripada juri dan pengundi,” katanya dalam sidang media “Yaashwin Sarawanan, Manusia Kalkulator” di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long, dekat sini hari ini yang turut dihadiri canselornya Tun Dr Ling Liong Sik.

Yaashwin berkata dia tidak mahu terlalu yakin dalam memenangi pertandingan itu tetapi mahukan penonton terhibur dan memberikan inspirasi kepada mereka. 

“Saya menganggap diri saya sebagai penghibur, bukannya manusia kalkulator.  Bermain dengan nombor adalah menyeronokkan bagi saya dan inilah yang akan saya persembahkan kepada penonton nanti,” katanya.

Berkongsi persiapannya menjelang aksi final, Yaashwin berkata beliau hanya meluangkan masa 10 minit setiap hari untuk berlatih mengira dengan pantas.

Sebelum ini Yaashwin mengejutkan juri program, penerbit muzik terkenal David Foster, penyanyi antarabangsa, Anggun dan artis popular Amerika-Korea, Jay Park, apabila menjawab dengan tepat dan pantas kesemua soalan matematik yang diajukan sebelum sempat juri habis mengira menggunakan kalkulator.   

--BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan